Followers

Wednesday, November 27, 2013

2013 Tahun Melawat Terengganu: Jom kita ke Tasik Kenyir!

    Assalamualaikum.
    Blog ni diaktifkan khas untuk menyimpan segala kenangan dan pengalaman percutian aku. Tak kisah dalam atau luar negara (luar negara tu inshaaAllah.. kalau cukup duit dan dah puas jalan-jalan dalam negara sendiri, mengapa tidak, kan?)

   Untuk entri pertama ni, aku nak mulakan dengan Negeri Terengganu Darul Iman. Negeri yang bagi aku paling best kalau nak jalan-jalan. Tempat cantik, makanannya pun murah!

  Trip kali ni ke Tasik Kenyir. Aku pergi berlima, hubby, abah, mak dan adik bongsu aku. Memang syok pergi sana rupanya. Tak sama langsung apa yang terbayang dalam kepala otak aku ni dengan realitinya. Aku dok terbayang-bayang tempat tu mesti agak menakutkan, maklumlah dah katanya empangan. Mestilah nampak air jer... Aku ni dah la fail bab-bab berenang ni. Tapi bila sampai sana, rupanya banyak pulau-pulau kecil sepanjang perjalanan ke Pulau Sah Besar tu. Alhamdulillah, sepanjang berada di sana tak ada terjadi perkara-perkara tak diingini kecuali pada malam kedua je (nanti bila-bila akan aku ceritakan). Tapi bagi aku itu mungkin mainan perasaan jer.

    Kami bertolak dari KL jam 3.30 pagi, berhenti sekejap untuk solat Subuh kat Hentian Plaza Tol Karak jam 6.00 pagi lebih sikit. Perjalanan jauh lagi jadi masing-masing melayan perasaan je sepanjang perjalanan yang boring tu. Mula2 hubby aku nak ikut laluan Felda Aring yang akan tembus ke Gua Musang, tapi aku ajak lalu ikut laluan Jabor. Biarlah jauh sikit asalkan jalannya cantik, tak berdebu berlopak kerana laluan tu jugak adalah laluan lori-lori balak. Hish! Seriau memikirkan kalau selisih dengan lori balak yang berat dan sarat dengan muatan tu. Kalau la rantai yang ikat balak tu terputus... Nauzubillah!

    So dalam perjalanan tu memang kami enjoy je. Tak terburu-buru memandangkan check in pun jam 2 petang dan kami masih ada banyak masa. Kami sampai di pekan Kuala Berang dalam jam 9.30 pagi. Sebelum tu sempat singgah pasar minggu di Kg Bukit Diman untuk beli sarapan pagi. Apa lagi, dah tentulah nasi dagang jadi pilihan. Masing-masing ambil sebungkus sorang kecuali mak aku je ambil nasi kerabu. Mak aku memang peminat tegar nasi kerabu. Tu pilihan utama dia kalau pi mana-mana pun. Siap beli nasi sebungkus sorang dan beberapa jenis kuih, kami beli sikit sayur-sayur kampung, ubi dan jagung yang segar untuk dimasak di Kenyir nanti. Kami singgah kat satu tempat di Kuala Berang untuk makan apa yang kami beli tadi, sambil tu aku masak air untk bancuh nescafe 3in1. Memang best betul makan pagi tu. Siap ada seorang pak cik bersama anaknya dan 3 ekor kucing join kami makan kat situ. Suasana memang sunyi memandangkan hari tu hari cuti di Terengganu dan mungkin masih lagi ada yang menikmati tilam empuk diorang. Kami tak kisah pun kalau nak kongsi-kongsi makanan ni sebab makanan bekal memang banyak. Almaklum kami ni orang luar, sambil-sambil makan tu tanyalah arah dengan pak cik tu. Baru tahu Tasik Kenyir tu dah tak jauh jer dari Kuala Berang, lebih kurang dalam 35km jer. Masing-masing baru rasa teruja sebab dah dekat dan aura bercuti pun dah meresap dalam diri masing-masing. Dalam fikiran kami pasti perjalanan yang bakal ditempuhi akan melalui laluan hutan belukar. Rupanya ternyata ianya meleset sama sekali. Di sepanjang perjalanan dari Kuala Berang ke Pengkalan Gawi terdapat kampung-kampung dengan dusun buah-buahan yang bagaikan mengalu-alukan kedatangan kami. Tak de lah teruk sangat pengalaman perjalanan ke Tasik Kenyir tu.

      Akhirnya setelah lebih kurang 40 minit melalui kampung-kampung tersebut, kami tiba jua ke Pengkalan Gawi. Dari gerbang utama terbaca kata-kata aluan "Selamat Datang". Disambut mesra dengan kehijauan pokok-pokok di kiri kana jalan dan tak kurang juga dengan pembinaan bangunan yang mungkin akan dijadikan pusat pelancongan atau kedai-kedai menjual cenderahati. Kami terus bergerak ke Pusat Penerangan Tasik Kenyir dan berhenti sebentar untuk ke tandas. Rupanya di tingkat bawahnya terdapat akuarium yang menempatkan spesis ikan yang ada di dalam Tasik Kenyir.

Dah sampai sini, wajib ambil gambar kenangan.







Lepas tengok-tengok ikan kat tingkat bawah, kami lepak-lepak di lobi pusat penerangan ni. Hubby dah macam pegawai penerangan bila pakai vest ni, siap ada yang bertanya tentang kenyir padanya. 
      Kami teruskan perjalanan sehingga sampai ke kawasan meletak kereta. Terdapat barisan kedai-kedai kecil menawarkan sewaan rumah bot ataupun servis membawa pelancong ke tempat-tempat menarik sekitar Tasik Kenyir dan juga kedai makan untuk kemudahan mengalas perut. Memandangkan penginapan kami beserta dengan bot, jadi kami tak perlu lagi nak tercari-cari.



Sempat juga baca sedikit info berkenaan Kenyir dari papan kenyataan ni.
      Sampai kat jeti, aku terus call En Alias untuk pick up kami ke tempat penginapan. Disebabkan hari tu Jumaat, maka kami kenalah tunggu lepas solat Jumaat. Sambil-sambil menunggu tu basahkan tekak sekejap kat kedai makan tepi jeti. Tengok rumah bot dan ragam manusia. Tak ramai sangat pun orang masa tu. Tak sampai setengah jam, ada la sorang abang ni datang dan tanyakan samada kami nak ke RPP, siap sebut nama hubby lagi. Rupanya En Alias dah suruh orang dia jemput kami.





      Perjalanan dengan bot laju makan masa 20 minit juga dari Pengkalan Gawi ke Pulau Sah Besar. Puas jugaklah kami menikmati angin Tasik Kenyir tu. Percikan air yang kadang-kadang terpercik ke arah kami menambahkan lagi keseronokan percutian ni. Masa ni aku dah rasa sangat enjoy dengan percutian ni memandangkan apa yang aku jangka dan imaginasikan tentang Tasik Kenyir ni sangatlah meleset. Hahaha! Aku takut sebab asyik fikirkan misteri "sulur bidor" yang aku baca di forum yang mungkin menjelma masa kami merentasi tasik ke pulau tempat peranginan tu nanti. Tapi aku buat-buat cool sebab kalau aku takut, mak aku lagi takut. So untuk tak menghampakan hubby yang bersemangat dengan percutian ekstrem ni, aku berpura-pura teruja. Tapi memang teruja pun bila sampai sini!!! Kenyir tak lah teruk sangat pun... !




*bersambung...    

No comments: